Tuesday 25 February 2014

[ PROGRAM ] Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Lahad Datu


TEKS UCAPAN YB DATO’ SERI DR. SHAHIDAN KASSIM, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI, DI MAJLIS PENYERAHAN KUNCI RUMAH-RUMAH BARU KEPADA MANGSA-MANGSA OPS DAULAT, KAMPUNG TANJUNG BATU DAN TANJUNG LABIAN, LAHAD DATU, SABAH PADA 25 FEBRUARI 2014.


Terima Kasih kepada Saudara Pengacara Majlis ;

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,

Yang Berbahagia Datuk Mohamed Thajudeen bin Abdul Wahab
Setiausaha, Majlis Keselamatan Negara

Yang Berhormat Datuk Haji Datu Nasrun Datu Mansur
Ahli Parlimen P.188 Silam

Yang Berhormat Datuk Mohd Suhaili Haji Said
Ahli Dewan Undangan Negeri N.49 Tungku

Yang Berhormat Dato’ Mohammad Yusof Apdal
Ahli Dewan Undangan Negeri N.50 Lahad Datu

Yang Berusaha Tuan Rodzi bin Md Saad
Setiausaha Keselamatan Negeri Sabah

Yang Berbahagia Datuk-Datuk,

Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan;

Ketua-Ketua Jabatan Negeri

Tuan Pegawai Daerah Lahad Datu

Semua pegawai-pegawai Kanan Kerajaan ;

Tuan-tuan Ketua Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian;

Semua penduduk Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian,

Seterusnya Tuan-Tuan dan Puan–Puan sekalian yang hadir dan berada di majlis ini pada pagi ini.



1.           Alhamdulillah, pada pagi ini kita semua dapat berkumpul dan berada di majlis penyerahan kunci rumah-rumah baru kepada 45 ketua keluarga yang telah terjejas kehidupan ketika Operasi Daulat dilancarkan oleh pihak berkuasa keselamatan di sini hampir setahun yang lalu. Saya ingin menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Mohamed Thajudeen bin Abdul Wahab, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara kerana telah menjemput saya untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan penyerahan kunci rumah-rumah baru yang telah siap dibina  kepada 45 Ketua Keluarga di kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian di sini pada pagi ini.

2.      Saya juga ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dari Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah, khususnya kepada Yang Berhormat Tan Sri Sukarti Wakiman kerana telah memberi kerjasama yang baik di dalam usaha membina dan menyiapkan projek ini di sini.


Y Bhg Tan Sri / Datuk –datuk /  Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian

3.      Kejayaan menyiapkan 45 unit rumah yang akan diserahkan kepada 45 Ketua Keluarga di kampung Tanjung Batu dan Kampong Tanjung Labian ini  telah sekali lagi menjadi bukti akan keprihatinan serta keupayaan Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan atau mengotakan segala janji yang telah dibuat. Sepertimana kita telah maklum, bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam lawatannya ke Lahad Datu pada 6 April 2013 telah mengumumkan akan bantuan rumah baru kepada penduduk yang terjejas kesan dari pelaksanaan Operasi Daulat di kawasan ini dan  Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan pembinaan rumah-rumah ini. Pada hari ini, semua 45 unit rumah telahpun disiapkan dan sepertimana kita saksikan, rumah-rumah ini jauh lebih baik dan akan memberi keselesaan kehidupan yang lebih bermakna kepada keluarga yang mendiaminya. Pembinaan rumah-rumah ini adalah berlandaskan konsep Building Back Better iaitu kerajaan membina semula rumah yang jauh lebih baik serta lebih berkualiti kepada rakyat berbanding rumah yang didiami sebelum ini . Tenttulah suasana hidup yang lebih selesa akan dirasai dan dengan itu saya berharap semua penduduk di sini akan sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa berusaha untuk membawa kehidupan yang lebih baik untuk rakyatnya.

4.      Sebenarnya, kerajaan sentiasa berusaha dan melakukan apa sahaja kaedah atau cara untuk membangunkan kehidupan rakyat kearah yang lebih selesa. Kita telah maklum bahawa pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan seterusnya merebak ke kawasan Tanjung Labian dan Lanjung Batu telah menyebabkan beberapa langkah diambil untuk memperkukuhkan keselamatan di kawasan ini atau di kawasan Sabah Timur. Pengwujudan Kawasan Keselamatan Khas Sabah Timur atau ESSZONE dan ditadbir oleh ESSCOM yang beribu pejabat di Lahad Datu telah membolehkan usaha dan tumpuan yang lebih khusus diberikan oleh kerajaan dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan di Sabah Timur ini. Kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar dalam mengwujudkan ESSCOM khususnya dari aspek keselamatan dan pertahanan. Manakala penambahbaikan dalam aspek sosial juga perlu dijalankan dan langkah pembinaan semula rumah di kawasan ini juga merupakan sebahagian strategi tidak langsung untuk mengukuhkan keselamatan di Tanjung Labian dan Tanjung Batu ini.

YBhg Tan Sri / Datuk –Datuk /  Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian

5.  Saya ingin mengajak dan menyeru kepada semua penduduk di Zon Labian ini khasnya dan seluruh Sabah Timur khasnya untuk bersama menjadi benteng pertahanan yang kukuh dan jitu untuk menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara yang kita cintai ini. Semua penduduk boleh dan mesti memainkan peranan yang tersendiri dalam membantu pihak berkuasa memperkukuhkan keselamatan di sini. Kita harus bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menjaga keselamatan termasuklah sentiasa sensitif terhadap gerak laku yang mencurigakan dari orang atau kumpulan yang tidak kita kenali dan berada di kampung kita. Laporan segera kepada pihak berkuasa perlu dibuat untuk membolehkan tindakan cepat diambil untuk membanteras sebarang anasir yang boleh mengancam keselamatan negara kita.

6.  Hari ini, keadaan atau suasana kehidupan penduduk di Tanjung Labian ini telah pulih kembali. Semua penduduk telah dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala. Malah dengan penyerahan kunci–kunci rumah yang akan disempurnakan, keadaan kehidupan penduduk di sini pastinya akan menjadi lebih baik. Saya meminta supaya penduduk di sini akan sentiasa bersyukur dengan rahmat ini dan sentiasa mengenang budi dan jasa baik kerajaan yang telah mengubah keadaan kehidupan penduduk di sini.

7.  Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas serta terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara di atas kejayaan menyiapkan projek ini, Walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah, akhirnya dengan komitmen serta tanggungjawab yang baik, projek ini telah berjaya disiapkan. Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Sabah yang telah menyediakan tapak kepada penduduk yang tidak memiliki tanah. Dengan kerjasama yang baik dari kerajaan Negeri Sabah, akhirnya projek ini berjaya disiapkan.

8.   Sekali lagi saya menyeru supaya 45 keluarga yang terlibat akan menerima dan menjaga rumah ini dengan baik dan penuh tanggungjawab. Akhirnya saya berharap agar kehidupan semua penduduk di sini akan sentiasa berada dalam keadaan aman dan selamat dan dengan penyerahan rumah-rumah baru ini, maka kualiti kehidupan rakyat disini ternyata telah ditingkatkan dan ianya adalah lambang kejayaan serta keprihatinan kerajaan terhadap rakyatnya biar di mana jua rakyat berada.


Sekian,

WabillahiTawfik Walhidayah Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima Kasih.

Majlis Keselamatan Negara
Jabatan Perdana Menteri
25 Februari 2014

  

LAPORAN MEDIA

[1] http://www.nst.com.my/latest/victims-of-lahad-datu-intrusion-receive-45-new-homes-1.492810
[2] http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2014/2/25/mstar_berita/20140225142322&sec=mstar_berita
[3] http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_06.htm
[4] http://www.malaysiandigest.com/news/490064-victims-of-lahad-datu-intrusion-receive-45-new-homes.html
[5] http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/75676
[6] http://www.bnbbc.my/?p=8592

No comments:

Post a Comment